Thursday, May 7, 2009

Apakah itu angin ahmar atau stroke?

Jikalau dikampung kampung, penyakit ini lebih dikenali sebagai angin ahmar. Atau nama lainnya stroke. Ianya adalah sejenis penyakit disebabkan kekurangan oksigen di otak disebabkan salur darah yg membekalkan oksigen itu tersumbat. Kalau disamakan dalam kehidupan harian adalah seperti paip tersumbat. Apabila paip tersumbat, air tidak dapat mengalir maka manusia iaitu kita tak dapat air. Samalah seperti otak manusia. Ia memerlukan oksigen yg berada didalam darah. Apabila saluran darah yg membawa darah itu tersumbat, oksigen tidak dapat sampai kebahagian yang tersumbat. Lama kelamaan sel-sel otak akan mati.

Ada dua jenis stroke iaitu, jenis tersumbat seperti yang saya ceritakan dan lagi satu jenis pendarahan. Jenis tersumbat lebih banyak dihidapi oleh pesakit dibandingkan dengan jenis pendarahan. Jenis pendarahan ini lebih bahaya tetapi mempunyai peluang untuk sembuh dengan lebih baik JIKA pembedahan yang dilakukan berjaya. Jenis pendarahan adalah disebabkan salur darah yg membawa darah ke otak pecah atau bocor.

Fungsi otak adalah untuk mengawal fungsi badan dan apabila sel-sel otak mati maka fungsi badan juga akan mati. Sebab itulah, penghidap2 angin ahmar ini tak boleh menggerakkan separuh badan mereka, sukar memahami, berkata2 dan separuh penglihatan terganggu.

Stroke boleh berlaku dalam masa sesaat hingga berminit2. Tanda-tanda stroke bergantung kepada bahagian otak yang terjejas. Seperti yang saya katakan tadi, otak mengawal fungsi badan. Setiap inci sel di otak mempunyai fungsi2 tertentu. Maka, jika bahagian yang terjejas besar, lebih banyak fungsi badan akan terjejas ataupun lebih teruk sesuatu fungsi badan itu terjejas. Sebagai contoh, seseorang itu mengalami stroke tetapi mampu berjalan apabila dipapah tetapi tidak mampu mengangkat tangannya ataupun cuma mampu menggerakkan tangannya sedikit sahaja. Itu menunjukkan funsi tangannya terjejas teruk berbanding dengan kakinya.

Secara asasnya penghidap stroke boleh mengalami:

Lemah separuh badan
Kebas
Kurang deria rasa dan getaran
Perubahan deria bau, rasa, dengar dan melihat
Tidak dapat mengimbangi badan dengan baik
Kadar pernafasan berubah
Pergerakan lidah terjejas
Tidak boleh bercakap atau memahami bahasa
Mengalami masalah ingatan
Tidak dapat berfikir dengan baik dan berada dlm keadaan tidak pasti
Sukar berjalan
Berasa seperti berpusing-pusing

Ini adalah sebahagian daripada tanda2 angin ahmar. Selalunya, pesakit dikejutkan dengan serangan tidak dapat menggerakkan separuh badan mereka secara tiba2. Ianya juga boleh berlaku dalam tidur.

Ada banyak penyebab stroke ini dan yang paling utamanya adalah kencing manis dan darah tinggi. Ini adalah penyakit paling lazim di Malaysia. Selain itu, penyebab lain termasuklah masalah jantung iaitu lebih dikenali sebagai atrial fibrillation, masalah injap jantung seperti rheumatic heart disease, kegagalan jantung ataupun dikenali sebagai heart failure dan serangan jantung. Penyebab lain yang secara tidak langsung menyebabkan stroke adalah rokok. Ada banyak lagi penyebab lain yang tidak lazim tetapi boleh menyebabkan stroke.